“Comel dan sihatnya anak awak. Tengok badannya yang besar dan montel, tidak macam anak saya kurus. Walaupun sudah bermacam makanan saya berikan kepadanya tapi masih sama”.
Mungkin ini antara luahan hati ibu bapa yang beranggapan kanak-kanak yang berbadan gempal dan ‘bulat’ itu comel berbanding kurus. Malah bagi kanak-kanak di bawah usia lima tahun gelaran seperti tembam, montel dan bulat jarang diambil berat dan tidak dipandang negatif.
Ini kerana bagi ibu bapa anak-anak gempal dan gemuk ini sihat jadi usah ditegur kerana bimbang mereka akan hilang selera makan. Selain itu ramai ibu bapa berpendapat, tidak mengapa anak kecil gemuk sedikit kerana kegemukan itu akan ‘hilang’ apabila usia mereka bertambah.
Ramai di kalangan ibu bapa kurang sedar mengenai bahaya obesiti di kalangan kanak-kanak. Dalam Panduan Pemakanan Malaysia 2010, kajian yang dijalankan ke atas 21,249 kanak-kanak pada 2006 menunjukkan 5.4 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan. Daripada jumlah itu 6.8 peratus daripadanya berumur tujuh hingga sembilan tahun manakala 6.4 peratus berumur empat hingga enam tahun.
Menurut perunding pemakanan berpengalaman, Indra Balaratnam terdapat salah tanggapan dalam menyediakan panduan pemakanan yang sihat kepada anak-anak. Dalam satu kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 dan 2008 mengenai tabiat pemakanan kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, menunjukkan 32.1 peratus tidak bersarapan, 24 peratus meninggalkan makan tengah hari manakala 24.4 peratus tidak makan malam.
“Kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan akan terdorong untuk makan banyak makanan manis yang tentunya tidak baik untuk kesihatan mereka. Daripada kajian itu menunjukkan 55 peratus mengamalkan pemakanan tidak sihat iaitu makan makanan yang banyak mengandungi gula seperti ais krim, coklat, minuman manis, kuih dan kek sebagai gantian kepada sarapan,” katanya.
Menurut Indra, gula adalah karbohidrat ringkas membekalkan sumber tenaga segera yang mudah diserap tubuh. Secara semula jadi, gula boleh didapati dalam makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta dan ubi. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk fruktosa dan susu dalam bentuk laktosa.
Selain terdapat dalam bentuk semula jadi, gula juga ditambah ke dalam makanan semasa penyediaan atau pemprosesan. Namun sering berlaku pengambilan gula berlebihan kerana kita tidak sedar kandungan gula tambahan yang tidak diperlukan lantaran gula boleh diperoleh daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.
Indra menjelaskan ibu bapa harus peka dengan menyemak label makanan yang menyenaraikan gula tambahan sebagai sukrosa, fruktosa, sorbitol, manitol, sirap jagung madu, malt, ekstrak malt, maltosa, ekstrak beras, molas dan sirap. Kandungan gula tambahan yang tidak mempunyai nilai pemakanan ini boleh didapati pada label makanan.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula haruslah tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah tenaga harian. Ini bermaksud purata pengambilan gula untuk orang dewasa haruslah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50 gram) manakala kanak-kanak berusia dua hingga lapan tahun tidak melebihi lima sudu teh.
“Namun apa yang berlaku, terdapat pengambilan gula berlebihan dalam makanan kanak-kanak yang membawa pelbagai masalah. Penambahan gula dalam makanan hanyalah untuk menaikkan rasa atau memberi warna saja tetapi ia tidak memberi manfaat kepada badan. Malah pengambilan gula berlebihan setiap hari akan menyebabkan masalah kegemukan, kerosakan gigi dan penyakit kencing manis pada kanak-kanak dan orang dewasa,” katanya.
Justeru, ibu bapa berperanan penting menyediakan pemakanan seimbang dan sihat untuk anak-anak. Ini kerana pada usia setahun hingga empat tahun adalah tempoh yang amat kritikal kerana pada waktu inilah berlakunya pembentukan tabiat pemakanan yang akan berlanjutan sepanjang hayat. Oleh itu ibu bapa dinasihatkan:
1. Memberi makanan seimbang daripada kumpulan makanan asas, iaitu susu, bijiran, daging dan sayur-sayuran. Tidak semua hidangan memerlukan makanan daripada semua kumpulan berkenaan. Bagaimanapun, perlu ada keseimbangan antara makanan itu dalam tempoh sehari.
2. Memulakan jadual pemakanan dengan menyediakan tiga hidangan berat sehari dan hidangan ringan di antara hidangan berat itu. Bagi hidangan ringan, ibu boleh memberi susu ibu atau susu segar saja.
3. Jangan membiasakan memberi makanan segera dan manis seperti coklat dan ais krim sebagai hadiah kepada anak-anak.
4. Kanak-kanak adalah individu yang bijak, jadi berikan penjelasan kepada mereka mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dimakan.
5. Masak sendiri makanan untuk anak anda. Ini adalah langkah bijak dan penting bagi memberikan khasiat makanan mencukupi kepada mereka. Kurangkan pengambilan makanan segera.
6. Sentiasa berhati-hati mengenai gula tambahan yang terdapat di dalam makanan.
7. Bagi menggalakkan anak-anak makan makanan berkhasiat, ubah suai jenis masakan supaya makanan nampak lebih menyelerakan atau mengikut kesukaan anak. Buat persembahan yang menarik dari segi teknik hiasan, pinggan yang berwarna-warni supaya anak-anak menyukainya.
8. Jadilah contoh yang terbaik kepada anak-anak. Ini kerana anak-anak akan mengikut tabiat pemakanan ibu bapa di rumah.
Contoh keperluan pemakanan berkhasiat untuk anak kecil:
1. Dua atau tiga cawan susu
Selain susu, ibu bapa boleh menggantikan makanan lain yang sama khasiatnya dengan susu seperti dadih keju dan puding.
2. Empat hidangan sayur atau buah-buahan
Sebagai panduan, satu sudu kecil untuk kanak-kanak berusia setahun bersamaan dengan satu hidangan. Setiap satu hidangan perlu mempunyai kandungan vitamin C dan A yang tinggi.
3. Empat hidangan roti dan bijirin
Kanak-kanak mungkin banyak makan makanan daripada kumpulan ini. Ini tidak memudaratkan selagi kanak-kanak turut makan makanan daripada kumpulan lain, walaupun dalam kuantiti yang paling minimum. Setiap hari, berikan bijirin yang diperkuat dengan zat besi.
4. Dua hidangan daging, kacang, telur atau mentega kacang. Hidangan yang mengandungi khasiat protein yang baik perlu ada setiap kali waktu makan.
Penting: Setiap hidangan perlu mempunyai semua zat makanan seperti protein, roti atau bijiran, sayur atau buah-buahan dan susu.
Elakkan memberikan makanan yang tidak sihat kepada anak-anak, antaranya seperti:
~ coklat dan gula-gula
~ ais-krim
~ makanan segera
~ minuman berkarbonat
~ makanan berlemak
No comments:
Post a Comment